KEMBARA PHD - Part 2

in , , by dorsett pink, June 30, 2020
Sambungan dari entri ni :

Part 1 - 'MACAM MANA AKU BOLEH MULA BLOGGING'
Part 2 -  MACAM MANA AKU BOLEH MULA BLOGGING - PART 2 : KEMBARA PHD'


Sambungan.................


Hari demi hari, minggu berganti minggu, tahun berganti tahun. Aku mengharungi kembara pengajianku ini bersama si manjaku dengan penuh onak dan duri. Pengajian yang aku rasakan mudah pada peringkat awalnya tidaklah semudah yang disangkakan. Kehidupan sebagai seorang isteri dan ibu dan dalam masa yang sama perlu berjuang untuk menyiapkan tesis penyelidikan amatlah sukar. Kemanisan dan kepahitan adalah asam garam yang perlu aku hadapi sepanjang perjalanan ini. 

Ada hari aku melaluinya dengan tenang tanpa ada resah dan gelisah dihati ini, namun ada hari-hari emosiku diuji dengan begitu dashyat sehingga aku merasakan ingin saja menamatkan perjalanan PhD ini. Seringkali emosiku akan teruji pabila anakku sakit samaada hanya demam biasa, demam panas, sakit mata, cirit-birit mahupun terkena keracunan makanan. 

 (Inilah peneman setia mommy buat tesis dulu-dulu =)) )

Tika waktu-waktu getir sedemikian,aku terpaksa meninggalkan kerja-kerja penyelidikanku dan memberikan sepenuh perhatianku buat si anak yang tercinta siang dan malam. Aku sering merasa berputus asa sehingga pernah kurasa untuk menamatkan riwayat hidupku akibat depresi yang keterlaluan. Kepenatan sebagai seorang suri dan pejuang ilmu pada masa yang sama amatlah terasa yang sekaligus membuatkan aku sering bermain dengan emosi dan perasaan.

Hidup ini perlu ada imbangan dan dari keseimbangan inilah akan lahirnya sebuah kebahagiaan. Namun, keseimbangan itu tidak mudah untuk dicari. Tatkala di saat ingin menjadi wanita yang sempurna, yang mampu untuk menyeimbangkan antara urusan akademik dan urusan keluarga, acap kali aku gugur di medan perjuangan PhD ini. Aku akui aku hanyalah insan yang lemah, yang kerdil, yang sentiasa memerlukan kekuatan dan perlindungan. Aku bersyukur, aku dikurniakan suami yang sangat penyayang dan memahami, yang sering kali ada ketika aku berduka, yang sering memberikan ku kata-kata semangat dan motivasi untuk aku meneruskan perjalanan PhD ini. 


(Hari-hari Kakak FL ikut mommy pergi UPM dulu-dulu)

Dia sentiasa mengajakku untuk mendekatkan diri pada Sang Pencipta. Dialah jiwaku, dialah guruku, dialah sahabatku, dialah penyokong setiaku dan dia jugalah yang sentiasa membantuku untuk menyiapkan penyelidikan ini. Dia bukan sahaja seorang suami yang sering memanjakan isteri, malah dia turut bersama-sama membantuku melakukan kerja-kerja rumah. Lantas, beban sebagai seorang isteri yang dalam rangka proses kedoktoran turut digalas bersama.

Setelah 4 tahun masa berlalu, berhempas pulas memerah otak untuk memikirkan sesuatu yang bernilai dan setaraf dengan peringkat pengajian PhD, ia bukanlah satu tugas yang mudah. Air mata telah menjadi teman seperjuanganku untuk melalui tiap getir perjalanan ini selama 4 tahun ini. Hanya kepada Allah aku bersujud memohon pertolongan agar aku terus diberikan ketabahan dan kekentalan jiwa untuk terus berjuang dalam kembara yang penuh berombak ini. 

Keputusan yang dibuat untuk mendalami bidang akademik ini adalah tanggungjawab sendiri dan aku telah melangkah begitu jauh dalam kembara ilmu ini sejak 4 tahun yang lalu. Adalah tidak wajar untuk aku berputus asa dan menamatkan perjalanan PhD ini di pertengahan jalan. Walaupun perit, mahu tidak mahu, aku perlu menamatkan pengajian ini dengan segulung Ijazah Kedoktoran.

( Ni bilik study. Macam-macam gaya nak siapkan tesis ni =)) Ada kalanya en.suami ambik cuti sebab nak teman aku buat tesis, dia pun boleh sama jaga anak jugak 😊. Mencabar tau buat tesis sambil anak duduk kat sebelah 😞.)

Di paparan sejadah, aku bersujud, menangis, meratapi nasib diri. Aku berserah pada Ilahi, mengadu domba, dan kupanjatkan doa kepada Yang Maha Esa untuk terus memberikanku kekuatan untuk terus berdiri dan berjuang mengharungi kembara pengajian ini sehingga ke garisan penamat. Aku menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Kuasa, Tuhan Yang Satu. Aku berdoa pada Dia Yang Maha Besar, Tuhan Semesta Alam agar dengan penulisanku hari ni dapat mengembalikan semula semangat juangku untuk menamatkan kembara pengajian ini dengan cemerlang dan mampu menjana idea-idea yang bernas untuk aku menghasilkan sebuah tesis yang berkualiti di penghujung perjalanan nanti.

-      - aku sering mencoretkan perjalanan kembara ini di dunia maya milikku. Aku luahkan untuk tatapan hari-hari tuaku kelak dan sebagai motivasi untukku terus bangkit berusaha. Coretan dan nukilan perjalan phd  di blog adalah sebagai diari kehidupanku yang kuharapkan dapat menjadi pembakar semangat untuk anak-anakku kelak meneruskan kembara ilmu mereka setinggi yang boleh . 
     
    Di dunia maya, aku berjumpa dan berkenalan dengan ramai orang termasuk dengan mereka yang sama-sama berjuang dalam meniti perjalanan sebagai seorang pelajar pasca siswazah, mereka banyak berkongsi rasa denganku dan berkongsi tips-tips untuk mengharungi perjuangan yang sangat sukar ini. 

   Aku terus mendapat kekuatan dari pengikutku di alam maya. Aku berterima kasih pada mereka kerana sentiasa memberikanku semangat dan motivasi untukku meneruskan perjalanan kembara ilmu ini. Terima kasih kalian - .

(Ni gambar kat library - dulu sebelum Leeya lahir, hari-hari aku buat kerja kat library UPM - kat Postgrad Wing)


PhD bukan satu acara lari pecut tetapi ia merupakan satu acara marathon yang kita tidak akan tahu macammana perjalanan kita untuk menamatkan acara tersebut. PhD bukanlah untuk mereka yang bijak dan pandai dan bukan juga untuk mereka yang genius, namun PhD adalah untuk mereka yang kental dan tabah dalam mengharungi sebuah kembara yang penuh liku. Nasihatku untuk yang berkeinginan menyambung pengajian ke peringkat PhD ini, fikirkan dulu semasak-masaknya. Minta petunjuk pada Allah swt agar agar memberi petunjuk untuk menampakkan jalan yang betul kerna sekali keputusan dibuat, tiada lagi peluang untuk kalian menoleh ke belakang. 

PhD bukan untuk mereka yang genius dan bijak, tetapi hanya untuk mereka yang sabar dalam kembara perjuangan ilmu. Sehebat mana pun kita, sebijak mana pun kita, sesibuk mana pun kita dengan urusan dunia, ingatlah keluarga, pasangan dan anak-anak jua akan menemani penghujung waktu kita kelak. Luangkan masa dengan keluarga sebanyak mungkin walaupun kita kini tengah sibuk dengan komitmen perjuangan kita. Sepenat manapun kita, hargailah mereka yang tersayang, yang sentiasa ada bersama-sama kita ketika kita sedang berjuang.  Tiada yang lebih berharga dari senyuman mereka yang tercinta.

(Akhirnya dapat jugak grad - kenangan terindah seumur hidup)

Nota kaki:

Kehidupan ini adalah perjalanan yang penuh liku. Hidup ini ibarat roda. Ada kala kita di atas, ada kala kita di bawah. Bukan selama-lamanya kita mampu mengecapi nikmat dunia. Hidup ini penuh dengan ujian. Kita akan sering diuji dan terus diuji oleh Yang Maha Besar untuk membuktikan keimanan dan ketaqwaan kita padaNya. Selalulah ingat pada 'BIG WHY" kenapa kita sambung belajar supaya kita tak give up.

Oleh itu, senantiasalah memandang ke bawah pabila kita di atas, senantiasalah mencari ilmu supaya kita tidak kufur dengan nikmat dunia dan jangan sesekali berhenti untuk meminta pertolongan dariNya kerna hanya Dia Yang Satu yang dapat memberikan kita kekuatan dan ketenangan untuk kita terus berjuang dan berjaya menjadi insan yang hebat.

My children is my 'Big Why' =))

-TAMAT- 

P/S : Terima kasih kerana sudi membaca coretan aku ini sampai habis 😊.
SHARE 7 comments

Add your comment

  1. Manisnya perjalanan PHD awak :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. manis dan pahit - semua rasa, tapi akhirnya dapat juga senyum dengan gembira

      Delete
  2. Betul, bukan senang nk habiskan phd dengan anak2.. proud of you

    ReplyDelete
  3. Baca pun bukan mudh ye. Dp kuat.. Alhamdulillah dpt juga phd ye

    ReplyDelete
  4. Tahniah DP. berjaya abiskan phd walau kena tempoh macam2

    ReplyDelete

© Dorsett Pink · EDITED BY MOMMY'S DIARY OF LIFE